Akibat Sumbang Mahram 4 Sekeluarga Dijatuhi Hukuman Penjara Antara 25 dan 30 Tahun

KOTA SAMARAHAN: Empat sekeluarga hari ini dijatuhi hukuman penjara di antara 25 dan 30 tahun setiap seorang selepas mengaku salah melakukan jenayah rogol terhadap dua wanita dalam keluarga mereka, sejak lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kota Samarahan, Marutin Pagan, menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendengar 13 pertuduhan terhadap mereka di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof.

Tertuduh pertama, berusia 57 tahun, yang juga datuk kepada mangsa, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 24 sebatan, selepas mengaku salah terhadap enam tuduhan melakukan perbuatan terkutuk itu di kediaman keluarga di Kampung Daha Seroban, Serian.

Tertuduh kedua, berusia 42 tahun, yang juga bapa kandung mangsa, dihukum penjara 25 tahun atas dua pertuduhan, di samping 24 sebatan.

Manakala seorang lagi bapa saudara mangsa, berumur 28 tahun, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun, selepas mengaku melakukan empat pertuduhan.

Dua darinya pertuduhan melakukan jenayah rogol kepada mangsa yang kini berusia 19 tahun, dan dua pertuduhan kepada adik mangsa yang kini berusia 14 tahun.

Kesemua hukuman ini berjalan serentak pada hari mereka ditangkap.

Kes ini terbongkar apabila mangsa yang berusia 19 tahun menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Serian, dan didapati mengandung sekitar jam 2.30 petang 11 Ogos lalu.

Soal siasat terhadap mangsa kemudian mendedahkan dia menjadi “santapan seks” bapa, datuk dan dua bapa saudaranya sejak berusia 13 tahun.

Mangsa turut memaklumkan adiknya yang kini berusia 14 tahun juga menjadi mangsa pelepas nafsu lelaki-lelaki itu di rumah keluarga mereka.

Kedua-dua mangsa kini dirujuk ke institusi kebajikan dengan si kakak disahkan mengandung 27 minggu.

Hot!!!  Viral Sikap Mulia Lelaki Ini Sangup Menggadaikan Nyawa Demi Pengguna Jalan Raya!

Sumber http://www.astroawani.com

admin